Sunday, June 21, 2009

Bayaran WPP PTPTN secara Ansuran

UPSI - (INFORMASI)

Bayaran Balik Pendahuluan PTPTN Dibuat Secara Ansuran

JOHOR BAHARU, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan untuk membuat pemotongan bayaran balik wang pendahuluan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 secara ansuran berbanding sekaligus sebelum ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bayaran balik itu akan dibuat menerusi tiga peringkat, bermula dengan kemasukan pelajar sesi Julai ini.

"Bayaran sebanyak RM500 kini akan ditolak daripada jumlah pinjaman setiap semester berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu bayaran RM1,500 sekaligus menerusi pemotongan pada semasa semester kedua," katanya selepas menyampaikan wang pendahuluan pinjaman PTPTN Parlimen Pasir Gudang di Politeknik Johor Baharu, di sini Sabtu.

Seramai 196 pelajar dari kawasan itu yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam menerima wang pendahuluan pinjaman sejumlah RM1,500 seorang.

Wang itu diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan jumlah pendapatan bulan ibu bapa kurang daripada RM3,000.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata bayaran balik tiga peringkat itu diharap dapat melegakan beban pelajar pada semester kedua selain dalam masa yang sama dapat menumpukan pelajaran tanpa memikirkan soal masalah kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata PTPTN sehingga 30 April lepas, hanya memperoleh kutipan balik berjumlah RM1.027 bilion daripada para peminjamnya berbanding RM2.1 bilion yang sepatutnya, berdasarkan perkiraan tarih berkenaan.

Beliau berkata sehingga kini PTPTN pula telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM18.7 bilion kepada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

-- BERNAMA

1 comments:

Anonymous said...

mcm mna klau saya dah tunaikan WPP tp saya tak minta ptptn, saya ingin memohon ptptn selepas 2 tahun..adakah saya masih perlu bayar WPP..?