Friday, May 22, 2009

Pemerhati Bebas & UPSI ( Persoalan & Jawapan)

Surat terbuka untuk UPSI

Masalah bilik kuliah yang tidak cukup di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, didedahkan akhbar baru-baru ini. Langkah UPSI menyewa rumah kedai sebagai bilik kuliah universiti bukanlah satu fenomena baru. Universiti Teknologi MARA (UiTM) misalnya, juga berbuat demikian kerana tidak mampu menampung pertambahan pelajar. Tetapi tidak ada pula kedengaran rungutan di akhbar daripada pihak pengurusan tertinggi institusi berkenaan atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang menghadapi masalah sama.

Proses pembinaan kampus baru UPSI di Proton City sedang berjalan walaupun agak sedikit lembab akibat krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

Justeru UPSI wajar bersabar dan tidak menyalahkan kerajaan. Bagaimana pula dengan masalah kelewatan pembinaan bangunan Komplek e-Learning di Kampus Induk UPSI yang dipantau sendiri oleh pihak UPSI? Bangunan yang sepatutnya siap pada bulan Disember 2008 sehingga kini masih belum siap.

Masalah bilik kuliah yang kurang selesa di UPSI dapat dikurangkan sekiranya pihak pengurusan tertinggi lebih bijak membuat perancangan. Satu ketika, terdapat banyak bilik kuliah yang selesa di Bangunan Canselori, UPSI.

Kini, kesemua bilik kuliah tersebut telah ditutup dan diubah suai menjadi bilik-bilik pejabat yang kelihatan agak mewah jika dibandingkan dengan IPTA yang lain. Sebagai ganti, pelajar belajar di deretan rumah kedai sekitar kampus.

Di waktu kerajaan berusaha menangani krisis ekonomi dan menggalakkan perbelanjaan berhemat, UPSI menghabiskan RM250,000 untuk pementasan bangsawan Puteri Saadung di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Februari 2009. Penting sangatkah pementasan yang tidak balik modal ini? Kenapa tidak dibelanjakan wang sebanyak suku juta ringgit itu untuk mengubah suai bilik kuliah menjadi lebih selesa sementara menanti siapnya kampus baru di Proton City?

Sengaja

Pihak pengurusan tertinggi UPSI pula kerap mengadakan program lawatan ke luar negara seperti Iran, China dan sebagainya. Berhasilkah lawatan ini memperkenalkan dan menarik ramai pelajar luar negara untuk belajar di UPSI atau sengaja mengambil peluang untuk jalan-jalan makan angin? Mahukah pelajar dari luar negara ini belajar di UPSI sedangkan kurikulum yang disediakan terlalu menjurus untuk menjadi seorang guru di Malaysia dan tidak pula diiktiraf oleh negara mereka?

Sedarkah bahawa UPSI sendiri mengabaikan keperluan pelajar-pelajarnya. Perkhidmatan WiFi UPSI JARING di sekitar kampus seringkali tidak boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sekalipun mereka sudah membuat bayaran untuk perkhidmatan tersebut. Takkan UPSI nak tunggu kampus di Proton City siap sepenuhnya baru mutu perkhidmatan ICT warga kampus boleh dipertingkatkan.

Dari sudut yang lain pula, setiap tahun UPSI mengubah suai kaki lima jalan dan landskap sekitarnya. Ada saja projek mengubah suai kaki lima dan landskap UPSI ini. Bukan sedikit wang yang dibelanjakan. Yang peliknya, kebocoran di dewan utama UPSI untuk kegunaan peperiksaan dan konvokesyen tidak pula diperbaiki sepenuhnya.

Terdapat satu bangunan baru dan besar dalam proses pembinaan yang dikenali sebagai Bangunan e-Learning di kampus utama UPSI. Malangnya bangunan ini telah melangkaui tempoh sepatutnya ia disiapkan. Ramai yang tidak mengetahui, bila bangunan ini siap, ia tetap tidak akan dijadikan bilik-bilik kuliah.

Bangunan ini akan menempatkan bilik-bilik pejabat, bilik-bilik mesyuarat dan makmal komputer untuk kursus yang sudah semakin kurang pengambilan pelajarnya. Kenapa tidak dirancang untuk dijadikan bilik-bilik kuliah bagi menampung keperluan semua pelajar pelbagai fakulti?

UPSI terlalu menekankan aspek luaran dan kosmetik. Untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini, logo UPSI telah ditukar berkali-kali sehingga warga kampus sendiri menjadi keliru akan logo rasmi sebenar UPSI. Setiap kali perubahan logo, belanja yang banyak akan dihabiskan untuk menukar kesemua logo yang ada termasuk pada kenderaan rasmi universiti, kepala surat, sampul surat, bahan edaran dan sebagainya. Bukankah ini satu pembaziran?

Selain itu juga, terdapat beberapa fakulti yang pengambilan pelajarnya terpaksa dikurangkan. Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) contohnya, telah memberhentikan pengambilan pelajar baru untuk program Ijazah Sarjana Muda. Antara alasan yang diberikan, kursus yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan keperluan sebenar di sekolah-sekolah.

Bersaing

Masalah seperti ini timbul kerana UPSI hanya menyediakan pelajar-pelajar untuk jadi seorang guru di sekolah sehingga menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mendapatkan pekerjaan. Sukatan pelajaran yang ada di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi contohnya, tidak sesuai untuk melahirkan seorang guru di sekolah-sekolah biasa di Malaysia dan tidak pula mampu untuk menjadikan mereka seorang pakar perisian dan komputer yang boleh berkhidmat dengan sektor swasta. Graduan bergantung seratus peratus dengan kekosongan jawatan guru yang ditawarkan oleh kerajaan untuk mendapat pekerjaan.

Jika dinilai aspek penerbitan ilmiah, UPSI jauh ketinggalan berbanding kebanyakan universiti yang ada di Malaysia. Bilangan perisian pendidikan yang dihasilkan hampir tiada. Begitu juga penerbitan bercetak.

Sepanjang tahun 2009, sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun buku baru yang diterbitkan. Pensyarah-pensyarah UPSI sudah serik untuk berurusan dengan pihak universiti. Kebanyakan manuskrip mereka ditolak mentah-mentah oleh mereka yang berlagak pakar dalam semua bidang. Manuskrip yang diterima pula terpaksa menanti sehingga dua tahun untuk diproses. Sebahagian yang sudah menyiapkan buku pula, kurang senang untuk menulis lagi kerana hampir dua tahun royalti buku tidak dibayar.

Pihak pengurusan tertinggi sendiri tidak pernah membentangkan sebarang bentuk perancangan dan hala tuju UPSI untuk jangka panjang dengan warga UPSI. Amanat Naib Canselor sendiri untuk warga UPSI pada awal tahun 2009 hanya tertumpu kepada pencapaian UPSI pada tahun sebelumnya dan perkara yang akan dilakukan untuk tahun 2009.

Barangkali, cadangan sesetengah pihak agar UPSI bergabung dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ada di seluruh negara perlu dipertimbangkan dengan wajar. Pihak pengurusan tertinggi seharusnya mengkaji dan membuat keputusan yang sepatutnya untuk kepentingan pendidikan negara. Tetapi siapa yang berani menegur pihak pengurusan tertinggi UPSI?

Dalam keadaan ekonomi sekarang, UPSI seharusnya lebih faham dengan masalah yang dihadapi pihak kerajaan dan bersabar menunggu kampus baru yang dijanjikan. Bersyukurlah bahawa UPSI masih mampu menyewa rumah kedai untuk dijadikan bilik kuliah. Sementara menanti, fokuskan usaha untuk memperbaiki kepincangan yang ada daripada berterusan mengharapkan kerajaan dalam menyelesaikan semua masalah yang dihadapi.

PEMERHATI

Tanjung Malim, Perak


JAWAPAN UPSI :

Respon kepada surat pembaca Pemerhati Tanjung Malim berkaitan SURAT TERBUKA UNTUK UPSI yang disiarkan oleh Utusan Malaysia 19 Mei 2009.


1. Bilik Kuliah di Bangunan Canselori.

· Bilik-bilik kuliah di Bangunan Canselori dipindahkan keluar kerana pertambahan staf pentadbiran dan lagi Bangunan Canselori dikhaskan untuk Pentadbiran Universiti. Tidak ada di mana-mana universiti pun Bangunan Canselori menempatkan bilik-bilik kuliah. Dahulunya bilik-bilik kuliah itu hanya ditempatkan sementara sahaja di Bangunan Canselori.

· UPSI telah menyewa dan mengubahsuai rumah kedai berhampiran dengan UPSI untuk dijadikan bilik-bilik kuliah dan melengkapkannya dengan kemudahan pembelajaran yang sama dengan kemudahan bilik kuliah di dalam kampus.

· Bilangan bilik kuliah di rumah-rumah kedai ini berjumlah 39 buah meliputi 20 unit rumah kedai dengan kos berikut :

i. Rumah kedai Taman Universiti - 13 unit (39 bilik kuliah) x RM 3,500.00 setiap unit sebulan = RM 45,500.00 sebulan atau RM 546,000.00 setahun.

ii. Rumah kedai Taman Bernam Baru – 7 unit (14 bilik kuliah) x RM 1,100.00 setiap unit sebulan = RM 7,700 sebulan atau RM 92,400.00 setahun.

Jumlah keseluruhan sewaan bilik kuliah adalah RM 638,400.00 setahun (tidak termasuk kos utiliti dan penyelenggaraan lain)

2. Pementasan Bangsawan Puteri Sakdung

· Tidak lebih RM 150,000.00 dibelanjakan dalam Pementasan Bangsawan Puteri Sakdung adalah untuk membangunkan dan menyemarakkan seni bangsawan negara. Di samping itu juga, pementasan bertujuan memperkukuhkan pembelajaran pelajar secara praktis selain meningkatkan keupayaan pelajar dalam seni bangsawan dari sudut pengarahan, rekabentuk set, penggubahan muzik, perekaan kostum dan pelbagai aspek pementasan yang lain.

· Selain itu juga kos meliputi penyelidikan, latihan ,perolehan peralatan dan sistem PA.

3. Lawatan ke Iran dan China

· Lawatan berkenaan bertujuan untuk pengambilan pelajar-pelajar antarabangsa dan memeterai perjanjian persefahaman MoU bagi perkara-perkara berikut :

i. Pada sesi Julai 2009/2010 ini seramai 34 pelajar daripada Southeast University’s College of Music, China akan memulakan pengajian Tahun 2 sehingga Tahun 4 di UPSI.

ii. MoU untuk program 2 + 2 Program Pengajian Muzik dan Bahasa Mandarin di antara UPSI dan Chongqing University, China dan University of Science & Technology, China.

iii. Pada sesi ini seramai tiga (3) orang pelajar Negara Iran telah mendaftar sebagai pelajar Program Pasca Siswazah UPSI.

iv. Ini akan disusuli dengan seorang professor bidang Kemahiran Hidup yang akan melapor diri Julai 2009 dan seorang lagi akan buat sabatikal bidang Kaunseling.

v. MoU telah dimeterai dengan Masshad University dan University of Tehran.

4. WIFI UPSI

· UPSI telah upgrade kemudahan WiFi daripada 68MB kepada 310MB di mana 4000 pelajar boleh mengakses secara serentak.

· Dengan jumlah pengguna yang ramai menyebabkan pengaksesan internet secara serentak ini menjadi perlahan.

· Walau bagaimanapun, kemudahan WIFI UPSI adalah antara yang terbaik di Malaysia.

5. Bangunan E Learning

· Dijangka siap sepenuhnya Disember 2009.

· Di dalam bangunan ini akan menempatkan ruang pejabat termasuk 8 buah bilik kuliah dengan kapasiti 200 pelajar bagi setiap bilik dan 8 buah makmal komputer yang boleh dijadikan bilik kuliah.

· Kelewatan disebabkan kegawatan ekonomi. Walau bagaimanapun, mesyuarat tapak diadakan setiap bulan yang dipengerusikan oleh Naib Canselor sejak Januari 2008 untuk memantau kemajuan projek berkenaan.

6. Logo

· UPSI tidak tukar logo tetapi kembali menggunakan logo asal.

7. Ijazah Sarjana Muda FTMK

· Pada tahun 1997 keperluan terhadap kursus amat mendesak tetapi kini tidak lagi apabila kebanyakan IPT lain menwarkan kursus yang serupa.

· Oleh yang demikian, UPSI menawarkan kursus-kursus Teknologi Maklumat untuk open market.

· Pelajar-pelajar juga tidak sahaja menjadi guru-guru tetapi ada yang bekerja dengan pihak swasta, menjadi pensyarah di kolej komuniti, matrikulasi dan politeknik.

8. Bergabung dengan IPG

· Tidak sesuai bergabung kerana UPSI bukan sahaja menawarkan kursus pendidikan tetapi kursus lain terutama di peringkat Pasca Siswazah.

9. Penerbitan

· Sehingga bulan Mei 2009 sebanyak lima (5) buah buku telah diterbitkan. Judul buku adalah seperti berikut :

i. Psikologi Perkembangan Panduan untuk Guru

ii. Jurnal Sains dan Matematik

iii. Jurnal Bahasa Inggeris

iv. Pendidikan Pembangunan Modal Insan

v. Organisasi Pengurusan Perakaunan, Ekonomi, Keusahawanan (Siri bacaan Malim)

vi. Warna Kalbu Zaman Dewasa (sepatutnya diterbitkan pada April 2009, tetapi terpaksa ditangguhkan atas permintaan waris kepada penulis, Arena Wati kerana penulis baru meninggal dunia)

· Di samping senarai di atas terdapat lima (5) buah buku yang akan diterbitkan menjelang pertengahan tahun ini dan 18 buah buku akan diulangcetak.

· Berdasarkan jumlah buku yang telah dan akan diterbitkan, sasaran Penerbit Universiti untuk menerbitkan 24 buah buku untuk tahun ini akan tercapai.

· Tiada manuskrip yang ditolak oleh Penerbit universiti bagi tahun 2009.

· Sepanjang tahun 2002 hingga 2008 sebanyak lima (5) manuskrip yang ditolak bedasarkan kepada kualiti yang rendah dan tidak mempunyai tahap keilmiahan yang sewajarnya. Jika diterbitkan reputasi UPSI akan terjejas.

· Royalty dibayar sebanyak 2 kali seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tetap Kewangan (JKTK). Pembayaran pertama adalah secara lump-sum, tiga bulan selepas buku dicetak. Manakala bayaran berikutnya dibuat berdasarkan kepada jualan buku tersebut. Kelewatan mungkin berlaku pada bayaran kedua kerana pembayaran hanya akan dibuat jika 80% buku tersebut telah terjual.

· Tempoh penerbitan buku adalah 6 bulan.

10. Halatuju UPSI

· Merekayasa Universiti Gemilang adalah halatuju UPSI 2007 -2015.(Buku tersebut telah diedar kepada staf).

· Amanat Naib Canselor setiap tahun memang sifatnya amanat untuk tahun berkenaan.(Amanat Naib Canselor boleh dimuat turun melalui laman web UPSI.)

11. Pengubahsuaian kaki lima dan landskap

· Pengubahsuaian dilakukan untuk menyediakan UPSI sebagai kampus mesra OKU.

Pengarah,

Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

0 comments: